Tuesday, July 21, 2020

Pandemic Covid19: Pemakaian face masks sebagai mandatory

Ke hadapan YAB PM TS Muhyidin Yassin.

Jangan jadikan pemakaian Face Masks di tempat awam sebagai MANDATORY.

1. Jika ia diwajibkan @ mandatory, tidak memakainya di tempat awam jadi satu kesalahan di bawah AKTA 324, yg membawa kepada Denda RM1000 dan/atau Penjara.    

2. Masa Pandemic Covid19 dan PKP ini, Rakyat AMAT TERTEKAN. 

Amat tertekan untuk mencari sumber pendapatan, menyara hidup sekeluarga. 

Hingga Mei 2020, hampir 500,000 sudah hilang pekerjaan. Menjelang akhir tahun Disember 2020, dijangka 1,900,000 orang hilang pekerjaan. 

Ini yg dilaporkan oleh Utusan Malaysia semalam.

3. Kita tidak nafikan pencegahan merebaknya pandemic covid19 ini sangat penting, tetapi tidak semestinya semua aspeknya digunakan pendekatan mandatory undang-undang.

4. Jika kita perhatikan Ketua Pengarah Kesihatan,  Dato Nor Hisham TIDAK PERNAH memakai face masks ketika buat Sidang kenyataan akhbar sepanjang PKP. 

Wal hal, berdirinya di Sidang Akhbar itu sudah dikira sebagai tempat awam. 

Apa yg saya nak beritahu, menetapkan pemakaian face masks sebagai mandatory ini akan JADI TINDAKAN TERPILIH dalam perlaksanaannya. 

Yang berterusan konsisten jadi mangsa adalah Rakyat Marhaen. Yang ada 'kabel-kabel' sikit, terlepas.

5. Bukankah kita pernah menyaksikan sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Negeri Perak dengan selambanya 'makan kenduri' beramai-ramai yg terang dan jelas melanggar SOP PKP. Tapi, tiada ditangkap digari naik lori Polis sebagaimana Rakyat Marhaen.

6. Saya tidak menafikan keberkesanan pemakaian face masks, TAPI realitinya juga, ramai yg memakainya sebagai 'formaliti' mematuhi SOP PKP, tapi cara memakainya sangat tidak betul, sama sahaja dengan tidak memakainya! 

7. Pun begitu, WHO dan pengkaji perubatan belum secara konkrit dan konklusif menyatakan Covid19 ini penyebarannya melalui udara @ 'airborne transmission'. Masih dengan keputusan awal , Covid19 ini penyebarannya melalui 'Respiratory droplets' yg jarak penyebaran jangkitannya lebih kurang 2 meter. Ini dijadikan rujukan dan perlaksanaan kepada amalan penjarak sosial @ social distancing 1 meter. 

8. Maksud saya, saya bersetuju jika bukti-bukti jelas , konkrit dan konklusif menyatakan Covid19 ini penyebarannya melalui 'airborne transmission' yakni, Virus Covid 19 ini berlegar-legar berterbangan di udara, maka OK diwajibkan @ mandatory pemakaian face masks.

9. Sekali lagi, Ketua Pengarah Kesihatan pernah menyatakan TIDAK WAJIB pemakaian face masks bagi mereka yg sihat walafiat tanpa apa-apa gejala atau symptoms sistem pernafasan seperti batuk dan selsema. 

Sebab itu, saya fikir, KP Kesihatan sendiri tidak pernah memakai face masks ketika Sidang Media. 

10. Apapun, janganlah ketika Rakyat amat tertekan dengan sumber pendapatan yg hilang @ hilang pekerjaan, ditambah lagi dengan hukuman denda RM1000 atau penjara jika gagal memakai face masks.

Didiklah Rakyat, didiklah, didiklah, didiklah,  lagi dan lagi, lagi dan lagi. Jangan putus asa atau hilang sabar  mendidik Rakyat. 

Rakyat memerlukan pembelaan dari anda. Bukan penghukuman!

Sunday, July 19, 2020

Perletakan jawatan PM tidak menjatuhkan Kerajaan pimpinannya.

1. Berlaku 2 Perletakan Jawatan PM dalam sejarah Negara kita, tak lama, dlm masa tak sampai 20 tahun.

(Perletakan Jawatan PM ini dibuat dengan teliti, berhati-hati, yg kita sebut Proses Peralihan Kuasa Terpimpin, bukan semata-mata perletakan jawatan PM).

i. Perletakan Jawatan PM oleh DrM pada 2003.

ii. Perletakan Jawatan PM oleh Pak Lah 2006.

Perletakan Jawatan PM oleh kedua-dua PM itu tidak menyebabkan Kerajaan Pimpinannya jatuh.  

2. Kenapa tidak jatuh? 

Kerana TIADA PENGKHIANATAN terhadap BN dan Kepimpinan BN.

Dengan itu, TIADA KEHILANGAN MAJORITI MUDAH yang mengekalkan Kerajaan yg sedia ada.

3. Maka, majoriti ahli, pendokong PH menganggap atau mengharapkan berlaku peralihan kuasa sedemikian dari PM TunM kepada DS Anwar Ibrahim , semasa dalam PH dulu.

4. Bagaimanapun, "air yg tenang, tidak disangka ada 2 buaya yg buas". 

Pengkhianatan sudah lama dirancang oleh 2 individu @ Pemimpin Tertinggi dari 2 parti. 

Kedua-dua Pemimpin Tertinggi dari 2 parti ini sememangnya tidak mahu DS Anwar jadi PM.

5. Bagi Parti Bunga, mereka SEPAKAT dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti (pada 23 Febuary), menolak DS Anwar sebagai PM. 

(Bahkan mereka akhirnya membulat tekad membawa keluar Parti Bunga dari Pakatan Harapan).

6. Bagi 'Ketua Kartel', dia secara senyap-senyap berjaya menyakinkan 10 MP untuk bersamanya.

(Bahkan akhirnya, dia dan 10MP membulat tekad keluar dari partinya, sekaligus keluar dari PH). 

7. Samada PM TunM meletak jawatan PM atau tidak, jika 2 kumpulan di atas menarik diri dan keluar PH, PM TunM secara automatik hilang sokongan majoriti mudah, jatuh lah dia sebagai PM. 

Samada PM TunM meletak jawatan PM atau tidak, jika 2 kumpulan di atas menarik diri dan keluar PH, perancangan proses peralihan kuasa PM dari TunM kepada DS Anwar tidak berlaku, atau gagal. 

8. Perkara fundamental yg menggagalkan peralihan kuasa PM, adalah KEHILANGAN MAJORITI KERANA PENGKHIANATAN oleh 2 Pemimpin Tertinggi dari 2 parti.

9. Bagaimanapun, satu persoalaan yg juga satu pertikaian;

i. ) Adakah PM TunM sebenarnya juga terlibat?

Atau, 

ii. ) Adakah PM TunM sebenarnya mastermind kpd perancangan ini, yg dilaksanakan dengan jaya oleh 2 Pemimpin Tertinggi parti tersebut?

10. DOA ku, semoga Allah swt menyelamatkan Negara Tanah Air Tercinta, Malaysiaku dari tangan-tangan yg rakus, yg tidak bertanggungjawab. 

Aamiiin.

Tuesday, July 14, 2020

Sejarah Mesyuarat Bersatu 23 Febuary 2020

1. Untuk rekod, dari 23 Feb - 1 Mac, aku konsisten katakan TunM sbg mastermind tumbangkan PH.

2. Dalam penulisan aku, 'Siapa buka pintu belakang', aku tetap konsisten mengatakan TunM sbg punca. 

Aku pernah bertanya, atau tertanya-tanya, mengapa tiada cerita versi peristiwa "23 Febuary Saga" dari Kem TSMY?  

Yang ada, dari Kem TunM; TunM sendiri, Mukhriz, Syed Sadiq, dan Kadir Jasin. 

Kerana tiada versi 23 Feb Saga dari Kem TSMY, aku tidak terima bulat-bulat versi dari Kem TunM.

3. Versi dari Kem TunM , dan TunM sendiri, bahawa TunM MERAYU kpd Ahli Majlis Tertinggi Bersatu bagi peluang baginya penuhi janji peralihan kuasa PM kpd Anwar.  

Dan TunM tidak setuju terima Umno secara en-bloc ke dalam Kerajaan, sebaliknya  menerima secara individu.   

4. Ini pertama kali cerita Peristiwa 23 Feb Saga datang dari Kem TSMY, @ Wan Saiful Wan Jan.  

Dalam esei panjang 54 mukasurat itu, Wan Saiful menjelaskan apa yg berlaku dlm Mesyuarat 23 Feb Bersatu. 

Agak memeranjatkan aku, Wan Saiful  menjelaskan/mengiakan  apa yg didakwa oleh TunM dan kumpulannya, iaitu; 

TunM MERAYU kpd Ahli Majlis Tertinggi Bersatu bagi peluang kepadanya penuhi janji peralihan kuasa PM kpd Anwar. 

"Mahathir PLEADED  that he should be allowed to fulfil his promise to hand over the prime ministership to Anwar".

5. Bukan apa, kita kena berlaku adil. Jangan kebencian kita mendorong utk kita berlaku tidak ADIL.

Saturday, May 25, 2013

ISLAM DAN POLITIK

Islam adalah agama yang sempurna, mengatur setiap aspek kehidupan manusia. Pernyataan Islam merupakan suatu sistem kehidupan yang lengkap dan sempurna berlandaskan firman Allah swt dalam surah Al-Maidah:3:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu. (Al-Maidah:3)

Kesempurnaan Islam itu meliputi seluruh sisi kehidupan manusia dengan syariat dan petunjuknya. Bermula semenjak anak-anak Adam dilahirkan sehingga meninggal dunia, bahkan sebelum dia dilahirkan dan setelah dia meninggal dunia. Secara realitinya, Islam memimpin dan menunjuki manusia dalam kehidupan individunya,keluarga,masyarakat, sosial,ekonomi dan politiknya.

Dr Yusof Al-Qaradawi menulis dalam bukunya bertajuk, “Fiqah Daulah Dalam Perspektif Al-Quran dan Sunnah” berkata, “ Islam tidak ada ertinya tanpa politik. Islam yang benar seperti yang disyariatkan Allah, tidak akan menjadi seperti itu kecuali jika ia berwawasan politik. Jika engkau melepaskan Islam dari urusan politik, bererti engkau menjadikannya agama lain, boleh agama buddha atau agama Nasrani atau lainnya.” (Dr Yusof Al-Qaradawi).

Sudah tentu pernyatan Dr Yusof Al-Qaradawi itu dibantah dan tidak dipersetujui oleh mereka yang diracuni pemikiran Barat yang memisahkan agama dari politik. Mereka menyeru manusia, “Tidak ada politik dalam agama dan tidak ada agama dalam politik”. Itulah yang terjadi kepada agama Kristian, yang tinggal hanya sebagai agama ibadat atau hubungan manusia dengan tuhannya semata-mata. Gereja-geraja sudah berubah fungsi tinggal sebagai rumah ibadat semata-mata.

Barat sudah lama mengenali Islam. Barat dan Islam itu sendiri sudah lama bertembung baik di medan perang mahupun di medan pemikiran. Barat boleh membiarkan apa sahaja fahaman muncul di tengah-tengah mereka. Sekularisme, komunis, Marxis, dan segala fahaman dibenarkan kecuali Islam. Islam akan ditentang dari segenap penjuru, tidak cukup di wilayah atau Negara mereka, di Negara Negara Islam pula diracuni pemikiran para pemerintah Islam supaya meninggalkan nilai-nilai Islam dalam sistem pemerintahannya. Barat dan para pemimpin Islam yang cenderung dengan pemikiran Barat, berusaha menjadikan Islam sebagaimana agama Kristian di Barat yang sudah menyimpang fungsinya.

Oleh yang demikian, perjuangan mewujudkan sebuah Negara Islam adalah satu perkara yang paling utama dan sangat urgensi bagi masyarakat Islam dewasa ini. Demi Islam kita berjihad. Di atas landasan Islam kita bermu’amalah. Dalam batasan-batasan Islam kita menyusuri setiap urusan kehidupan bersama menyusuri urusan rohani dan akhirat. Kita semua orang Islam terutamanya para pemimpin Islam, perlu berasa sangat malu dan mencontohi Khalifah Abu Bakar dalam memimpin umat dengan berkata, “Andaikata ada tali unta yang hilang tentu aku boleh mendapatkan hukumannya di dalam kitab Allah”.

INILAH ISLAM, SATU CARA HIDUP YANG LENGKAP DAN SEMPURNA.

Wednesday, May 22, 2013

Sistem Percukaian GST dan Pemotongan Subsidi: Teladan dari “Sultan Kepada Semua Ulama”.


Sistem cukai GST yang diperkenalkan dan Pemotongan Subsidi secara berkala, berperingkat peringkat sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia, dengan harapan hasil Negara bertambah, melalui “sumbangan” dari rakyat jelata.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Idris Jala menyatakan Kerajaan Malaysia akan bangkrap seperti Negara Greece jika subsidi kepada rakyat diteruskan. Perdebatan di alam siber khususnya, dan juga di Parlimen Malaysia kedua-dua perkara diatas cukup hangat dan hebat membicarakan KEWAJARAN kedua-dua pendekatan tersebut.

Saya tertanya-tanya, apakah HUKUMNYA dari pandangan Syariat Islam?

Saya suka mengimbas Sejarah Tamaddun Islam, iaitu Kerajaan Memalik Mesir.

Kerajaan Memalik Mesir adalah sebuah kerajaan yang tiada kestabilan politik,ekonomi,kacau bilau, tidak tenteram, perpecahan teruk berlaku di kalangan umat Islam, umumnya terbahagi kepada dua golongan iaitu Memalik Bahriah dan memalik Muizziah. Kerajaan Memalik Bahriah umpamanya memerintah Mesir selama 144 tahun dengan 29 orang Sultan silih berganti. 10 daripadanya mati dibunuh, 12 lagi digulingkan. Golongan Memalik lazimnya menyelesaikan sesuatu konflik dengan kekuatan dan kekerasan.

Raja Memalik Muizziah, Raja Izzuddin Aibak berjaya mengembalikan kestabilan politik Kerajaan Memalik seketika, namun beliau dan isteri juga dibunuh, sehingga akhirnya Kerajaan Memalik dipimpin oleh Saifudin Qutuz.

Qutuz mewarisi Kerajaan Memalik yang kacau bilau pada tahun  657H, setahun selepas Kerajaan Islam Abbasiyah yang di terajui oleh Khalifah Muktasim di Bahgdad jatuh ke tangan Tentera Mongul  (656H) yang diketuai oleh Hulagu, cucu Genghiz Khan. Lebih 1.8 juta umat Islam Iraq dibunuh oleh Hulagu tanpa perikemanusiaan. Mongul bercita-cita besar untuk menakluki Empayar Kerajaan Islam Abbasiyah. Mongul terus mara ke Timur.

Bertiup kencang di seluruh Dunia Arab Islam kata-kata, “Mustahil Mongul dapat dikalahkan”.

Menyedari hakikat kekuatan Mongul dan keganasan,kekejaman tanpa perikemanusiaan Mongul, ramai Raja-Raja Islam (Gabenor) yang memerintah negeri masing-masing melakukan hubungan persahabatan dan melakukan perjanjian damai dengan Hulagu. Ulama-Ulama semuanya dipaksa memberi  fatwa keharusan memeterai perjanjian damai dengan Hulagu.

Hanya 2 orang Gabenor yang tidak mahu tunduk kepada Hulagu iaitu Raja Kamil Muhammad Al-Ayubi (yang menguasai Timur Turki, Barat Laut Iraq dan Timur Laut Syiria) dan Kerajaan Memalik Mesir di bawah Saifudin Qutuz. Raja Kamil akhirnya dikalahkan Hulagu, Bandar Damsyik dimusnahkan dan Turki jatuh ke tangan Hulagu Mongul. Mongul memasuki Syria, Lubnan,Jordan dan Palestin tanpa tentangan, berhasrat menuju ke Mesir.

Qutuz tidak mempunyai banyak masa. 3 bulan naik tahta, Mongul sudah sampai ke Palestin. Ringkasnya, kebijaksanaan Qutuz berjaya mendamaikan Bahriah dan Muizziah sekaligus mencapai kestabilan politik Memalik.

Isu utama selepas itu adalah KETIADAAN SUMBER NEGARA, BAITULMAL. Baitulmal kering kontang, tiada peruntukan untuk belanjawan menghadapi perang.  Mongul menghantar utusannya kepada Qutuz, samada menyerah atau diserang.

Qutuz memanggil mesyuarat tergempar para pemimpin Negara. Cadangan para pembesar, menaikkan CUKAI RAKYAT bagi menampung dana berperang. Qutuz kesuntukan masa, Mongul siap siaga di Palestin. Qutuz cepat memanggil semua Ulama’ untuk mendengar FATWA MENAIKKAN CUKAI RAKYAT. Alasan,

DEMI ISLAM,
DEMI MEMPERTAHANKAN NEGARA,
DEMI MEMPERTAHANKAN NYAWA RAKYAT.

Semua ulama’ mengharuskan Kerajaan Memalik menaikkan cukai rakyat, KECUALI SEORANG ULAMA BERNAMA AL-IZZ BIN ABDUL SALAM, lebih dikenali Izzudin Abdul Salam, yang mengharamkannya dengan syarat.

Katanya,

“Setiap kamu (para pemimpin) dan rakyat jelata adalah sama dalam masalah ini. Jika mengambil harta rakyat sedangkan pemimpin memiliki harta dan peralatan mewah, maka ianya (naikkan cukai) adalah tidak dibolehkan”.

Qutuz menerima fatwa Ulama Izzudin Abdul Salam dan melaksanakannya dengan tegas. Dalam masa yang sangat pendek, Baitulmal melimpah ruah dengan harta kekayaan para pembesar Negara.

Dipendekkan cerita sejarah, Qutuz berjaya menewaskan tentera Mongul di Palestin dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak. TIADA SEORANGPUN tentera Mongul terselamat, termasuk Panglima Perangnya Katabgha, yang dipancung kepalanya oleh panglima Perang Memalik, Jamaludin Aqusy Syams.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Masih adakah pemimpin Islam seperti Saifudin Qutuz?.

Masih adakah Ulama’ Islam seperti Izzudin Abdul Salam yang digelar “Sultan Kepada Semua Ulama”?.

Sesungguhnya, Perang Memalik-Mongol , atau terkenal dengan nama Peperangan Ain Jalut, banyak pengajaran bagi pemimpin Negara, ulama, dan rakyat jelata.

Tuesday, May 21, 2013

PASCA PRU 13: KERAJAAN CAMPURAN PILIHAN TERBAIK ?


Langitbiru berasa sangat bimbang dengan perkembangan politik semasa, terutamanya sentimen API PERKAUMAN yang mula ditiup oleh pelampau parti pemerintah. Dek kerana menghadapi pelampau parti, para pemimpin parti pemerintah hendak tak hendak, sedikit sebanyak terpaksa mengikut kehendak golongan yang agresif ini. Sebelum pilihanraya, tiada siapa dari parti pemerintah berani bercakap secara terbuka perkara sensitif kerana bimbang undi nanti tergadai. Selepas pilihanraya, dengan terbentuknya “sebuah kerajaan minoriti”, atau “minoriti yang menang” membentuk sebuah kerajaan, mereka seperti “hilang akal” meroyan  dengan api perkauman ditiup dari segenap penjuru oleh orang-orang parti.

Kita lihat hari ini, amaran demi amaran dengan nada yang keras datang dari Menteri Dalam Negeri, sehinggakan terpacul dari mulutnya sebagaimana terpacul dari mulut Presiden istilah Tsunami Cina, menggesa mereka yang kononnya tidak meghormati keputusan PRU segera berhijrah keluar Negara. Rentetan itu juga timbul gesaan dari veteran parti memulau atau memboikot Cina dengan slogan “Buy Chinese Last”. DAN tidak lupa sebaik keputusan PRU13 diketahui, VVIP parti pemerintah dengan jelas tanpa berselindung menyerang parti lawan Pakatan Rakyat dan para pengundinya sebagai SANGAT RASIS. 

Amat jelas keadaan sebegini tidak menguntungkan perkembangan ekonomi dan hubungan sesama kaum di Malaysia. Beberapa tindakan parti pemerintah seperti mengambil tindakan menghukum rakyat, berkonfrontasi dengan rakyat sebagai contoh Menteri Besar 17 DUN di Terengganu.   

Mana-mana di dunia bilamana berlaku pilihanraya, parti penyandang pemerintah gagal mendapat mandat yang kuat dari rakyat, keadaan Negara menjadi kurang stabil dan tidak menguntungkan Negara. Pendek kata, “permusuhan politik” berpanjangan di antara parti pemerintah yang minoriti, dengan parti pembangkang yang majoriti   akan memberi impak yang besar kepada rakyat. Seolah-olah “gajah dengan gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah”. Di Negara Barat dan Negara Maju, bilamana keadaan sedemikian berlaku, mereka berpandangan jauh meletakkan kepentingan Negara dan rakyat mendahului kepentingan parti masing-masing. Formulanya adalah SEBUAH KERAJAAN CAMPURAN?.

Langitbiru berpendapat, pemimpin parti pemerintah  yang minoriti dan parti pembangkang yang majoriti, sewajarnya duduk semeja di parlimen membincangkan dengan serius penubuhan sebuah Kerajaan Campuran demi kesejahteraan dan KELEGAAN RAKYAT. Langitbiru sangat yakin, majoriti rakyat akan merasa SANGAT LEGA terutamanya setelah mengharungi pertarungan politik yang hebat dalam jangkamasa yang lama. Rakyat yang dihimpit pelbagai masalah sebenarnya “sudah letih” dan mengimpikan sebuah Negara yang sejahtera dan harmoni.

Walaubagaimanapun, bagi Langitbiru, semuanya terserah kepada Parti Pmerintah Minoriti Yang Menang. Bola di kaki mereka. Sebagaimana hujah Langitbiru, jika mereka Minoriti Yang Menang berasa insaf dan menyedari mandat minoriti yang mereka terima dari rakyat ,mereka akan mendahulukan rakyat dan bekerjasama dengan Parti Pembangkang Yang Majoriti.   

Sudah tentu bagi Kerajaan Minoriti ini, ISU UTAMA NYA adalah Ketua Kerajaan atau Perdana Menteri . Langitbiru tersangat yakin, sekali-kali Kerajaan Minoriti ini tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun. SEBABNYA, mereka telah menanam pemikiran di kalangan ahli parti mereka dengan pemikiran politik yang kotor dan bermusuhan dengan parti pembangkang. Pendek kata, mereka mengambil pendekatan “berpatah arang berkerat rotan” dengan parti pembangkang. Kerjasama sebagai Kerajaan Campuran dengan pembangkang bererti mereka “meludah ke langit”. 

MEREKA MINORITI YANG MENANG SEBENARNYA MENDAHULUKAN PARTI DARI RAKYAT.

ALLAH JAMIN ISLAM ITU SEMPURNA


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu”.(Al-Maidah 3)

Daku mengambil sebahagian ayat dari ayat 3 Surah Al-Maidah sebagai tatapan utama Blog Langitbiru. Daku mengharapkan agar diriku senantiasa mengingati bahawasanya Islam itu lengkap dan sempurna. Selalu mengingati semua perkara ada petunjuk syariatnya. Tiada yang terkecuali di dalam kehidupan manusia, semuanya ada jalan dalam Islam. Daku mengingatkan diriku dan ahli keluargaku berusaha sedaya-upaya bahawa setiap saat nyawa kita berlalu pastikannya berada dilandasan iman dan Islam. 

2:208 Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.(Al-Baqarah 208)

Daku mengingatkan diri ini dan keluargaku, masuk tandas ada caranya dalam Islam. Makan ada caranya dalam Islam. Tidur ada caranya dalam Islam. Daripada beristinjak hinggalah kepada pemerintahan sebuah Negara serta hubungan antarabangsanya ada caranya dalam Islam. Kita sembahnyang wajib ikut cara Islam. Haji dan Umrah wajib ikut cara Islam. Puasa dan Zakat wajib ikut cara Islam. Semua tata kehidupan ini wajib ikut cara Islam. Kerana Islam itu sendiri adalah satu cara hidup. Daku mengingatkan diriku dan ahli keluargaku, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya. Itulah kesempurnaan Islam.

MAKA, bagaimana mungkin manusia yang mengaku beragama Islam menolak cara Islam dalam memerintah sebuah Negara. Bagaimana mungkin manusia ini berkata agama suku, politik suku. Bagaimana mungkin mereka ini berkata jangan campur adukkan agama dengan politik. Mereka sebenarnya memisahkan agama dengan politik. Mereka memisahkan Sunnah Rasulullah saw dengan politik. Mereka meragui hukum-hukum agama itu sesuai untuk masakini. Bagi mereka, hukum-hukum agama dalam pemerintahan Negara itu hanya sesuai di zaman Nabi dan Para Sahabat. MAKA, dengan kefahaman begini, masjid masjid bagi mereka tidak lebih dari pusat beribadat dan sembahyang. Membincangkan politik dan kemasyarakatan DALAM MASJID adalah haram bagi mereka. Mereka sebenarnya terpesong.

HAKIKATNYA, Islam tidak akan lengkap tanpa politik, dan Politik tidak akan lengkap tanpa Islam.

Politik itu sendiri adalah salah satu cabang dari Fekah Islam. AKAN TETAPI ianya mempunyai kedudukan yang tersendiri dan istimewa kerana melibatkan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Daulah tanpa Roh Islam akan memudaratkan rakyat. 

MAKA kewujudan Daulah Islam yang memberi kebebasan kepada Islam dan Dakwah Islam itu sebenarnya satu urgensi dan prioriti utama bagi orang-orang Islam.  INILAH perjuangan utama bagi orang-orang Islam ,iaitu mendirikan Daulah yang ada Roh Islam, yang mengikuti cara Islam dan mampu melindungi Islam.

MAKA, bilamana kita dengan ikhlas, penuh keimanan dan taqwa, mencampakkan diri kita ke dalam perjuangan ini, kita sebenarnya berada di jalan jihad. Kita wajib yakin, bagi mereka yang berjihad, sudah pasti kita sudah mendapat satu dari 2 kejayaan. Jika kita ikhlas berjuang kerana Allah swt, kejayaan akhirat itu insyaAllah milik kita. 

6:162 "Katakanlah: ""Sesungguhnya salat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam," (Al-An’am 162).

Bila kita membaca dan mengingati ayat ini, kita seharusnya senantiasa sabar dan tenang, kerana semuanya ini hanyalah untuk Allah swt. DAN YANG PALING penting kita ingatkan, kita semua akan dikembalikan kepadaNya.

67:2 Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.( Al-Mulk 2)

TATAPAN INI PERINGATAN KHUSUS UNTUK LANGITBIRU.