Islam adalah agama yang sempurna, mengatur setiap aspek kehidupan
manusia. Pernyataan Islam merupakan suatu sistem kehidupan yang lengkap
dan sempurna berlandaskan firman Allah swt dalam surah Al-Maidah:3:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan
telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi
agama bagimu. (Al-Maidah:3)
Kesempurnaan Islam itu meliputi seluruh sisi kehidupan manusia dengan
syariat dan petunjuknya. Bermula semenjak anak-anak Adam dilahirkan
sehingga meninggal dunia, bahkan sebelum dia dilahirkan dan setelah dia
meninggal dunia. Secara realitinya, Islam memimpin dan menunjuki manusia
dalam kehidupan individunya,keluarga,masyarakat, sosial,ekonomi dan
politiknya.
Dr Yusof Al-Qaradawi menulis dalam bukunya bertajuk, “Fiqah Daulah Dalam Perspektif Al-Quran dan Sunnah” berkata,
“ Islam tidak ada ertinya tanpa politik. Islam yang benar seperti yang
disyariatkan Allah, tidak akan menjadi seperti itu kecuali jika ia
berwawasan politik. Jika engkau melepaskan Islam dari urusan politik,
bererti engkau menjadikannya agama lain, boleh agama buddha atau agama
Nasrani atau lainnya.” (Dr Yusof Al-Qaradawi).
Sudah tentu pernyatan Dr Yusof Al-Qaradawi itu dibantah dan tidak
dipersetujui oleh mereka yang diracuni pemikiran Barat yang memisahkan
agama dari politik. Mereka menyeru manusia, “Tidak ada politik dalam
agama dan tidak ada agama dalam politik”. Itulah yang terjadi kepada
agama Kristian, yang tinggal hanya sebagai agama ibadat atau hubungan
manusia dengan tuhannya semata-mata. Gereja-geraja sudah berubah fungsi
tinggal sebagai rumah ibadat semata-mata.
Barat sudah lama mengenali Islam. Barat dan Islam itu sendiri sudah
lama bertembung baik di medan perang mahupun di medan pemikiran. Barat
boleh membiarkan apa sahaja fahaman muncul di tengah-tengah mereka.
Sekularisme, komunis, Marxis, dan segala fahaman dibenarkan kecuali
Islam. Islam akan ditentang dari segenap penjuru, tidak cukup di wilayah
atau Negara mereka, di Negara Negara Islam pula diracuni pemikiran para
pemerintah Islam supaya meninggalkan nilai-nilai Islam dalam sistem
pemerintahannya. Barat dan para pemimpin Islam yang cenderung dengan
pemikiran Barat, berusaha menjadikan Islam sebagaimana agama Kristian di
Barat yang sudah menyimpang fungsinya.
Oleh yang demikian, perjuangan mewujudkan sebuah Negara Islam adalah
satu perkara yang paling utama dan sangat urgensi bagi masyarakat Islam
dewasa ini. Demi Islam kita berjihad. Di atas landasan Islam kita
bermu’amalah. Dalam batasan-batasan Islam kita menyusuri setiap urusan
kehidupan bersama menyusuri urusan rohani dan akhirat. Kita semua orang
Islam terutamanya para pemimpin Islam, perlu berasa sangat malu dan
mencontohi Khalifah Abu Bakar dalam memimpin umat dengan berkata, “Andaikata ada tali unta yang hilang tentu aku boleh mendapatkan hukumannya di dalam kitab Allah”.
INILAH ISLAM, SATU CARA HIDUP YANG LENGKAP DAN SEMPURNA.
No comments:
Post a Comment